Liverpool FC umum Turkish Airlines sebagai penaja utama kelab mulai musim 2027-2

Liverpool FC umum Turkish Airlines sebagai penaja utama kelab mulai musim 2027-28

Liverpool FC mengumumkan bahawa Turkish Airlines akan menjadi rakan kongsi utama kelab mulai 1 Jun 2027. Jenama syarikat penerbangan tersebut akan dipaparkan di ruang utama jersi bagi kesemua pasukan utama, wanita dan juga Akademi bermula musim 2027-28.

Pengumuman ini menandakan satu lembaran baru dalam sejarah komersil Liverpool FC dan merupakan pertukaran penaja utama buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun.

Standard Chartered, yang telah menjadi rakan kongsi utama Liverpool sejak 2010, akan kekal menjadi penaja utama kelab bagi musim ini sebelum beralih menjadi rakan kongsi global mulai musim 2027-28. Ini meneruskan salah satu kerjasama penajaan paling lama dalam sejarah bola sepak dunia.

Sepanjang 17 tahun sebagai rakan kongsi utama, Standard Chartered memainkan peranan penting dalam sejarah moden Liverpool. Syarikat tersebut berkongsi pelbagai detik penting dalam perjalanan kelab serta bekerjasama dengan Liverpool untuk memberikan sumbangan positif kepada penyokong dan komuniti di seluruh dunia.

Mulai Jun 2027, Turkish Airlines akan menjadi rakan kongsi utama Liverpool FC, menghimpunkan dua organisasi yang mempunyai jangkauan antarabangsa yang luas serta komitmen yang sama untuk menghubungkan manusia di seluruh dunia.

Kelab penyokong LFC terdapat di seluruh pelusuk dunia, manakala Turkish Airlines menghubungkan Timur dan Barat melalui rangkaian penerbangan antarabangsa yang paling luas di dunia, dengan penerbangan dari habnya di Istanbul ke lebih banyak negara berbanding mana-mana syarikat penerbangan lain.

Kerjasama baharu ini juga akan menjadi satu detik penting dalam sejarah jersi LFC. Tajaan jersi merupakan salah satu ruang penajaan paling ikonik dalam dunia sukan dan secara tradisinya dikhaskan oleh kelab untuk kerjasama yang signifikan.

Turkish Airlines akan menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut mulai musim 2027-28, ketika Liverpool FC memasuki bab baharu dalam perjalanan mereka, baik di dalam mahupun di luar padang.

Ben Latty, Ketua Pegawai Komersial LFC, berkata:

“Ini merupakan satu pengumuman yang amat penting bagi kami dan kami berbesar hati mengalu-alukan Turkish Airlines sebagai rakan kongsi utama kelab mulai Jun 2027.

“Bahagian hadapan jersi Liverpool mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah kelab kami. Turkish Airlines merupakan organisasi yang diiktiraf di seluruh dunia dengan rangkaian antarabangsa yang luas, dan kami tidak sabar untuk memulakan kerjasama ini serta membina hubungan yang kukuh bersama mereka, dengan asas yang sudah terbina daripada kenangan istimewa pada tahun 2005.

“Pengumuman ini juga memberikan peluang untuk kami mengiktiraf sumbangan luar biasa Standard Chartered kepada Liverpool FC sepanjang 17 tahun yang lalu.

“Mereka telah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami melalui satu tempoh yang amat istimewa dalam sejarah kelab. Kami gembira kerana Standard Chartered akan terus menjadi sebahagian daripada keluarga Liverpool FC sebagai rakan kongsi global mulai Jun 2027.

“Ketika kami membuat persediaan untuk peralihan ini, kami menantikan musim baharu ini dan mengalu-alukan Turkish Airlines sebagai rakan kongsi utama kelab mulai Jun 2027.”

Ahmet Olmustur, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Airlines, berkata:

“Liverpool Football Club merupakan antara kelab bola sepak paling dikenali dan dihormati di dunia, dengan warisan yang luar biasa serta komuniti penyokong yang benar-benar global.

“Kami amat berbesar hati kerana Turkish Airlines akan menjadi rakan kongsi utama kelab dan nama kami akan mendapat tempat di salah satu jersi paling ikonik dalam dunia sukan.

“Sebagai syarikat penerbangan yang terbang ke lebih banyak negara berbanding mana-mana syarikat penerbangan lain, menghubungkan manusia, budaya dan benua merupakan teras kepada identiti kami. Kerjasama ini menghimpunkan dua jenama global yang berkongsi jangkauan antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan serta keupayaan untuk memberi inspirasi kepada jutaan manusia di seluruh dunia.

“Perjanjian ini juga menandakan satu bab penting dalam sejarah panjang sokongan Turkish Airlines terhadap sukan antarabangsa. Kami percaya sukan mempunyai kuasa unik untuk merentasi sempadan dan menyatukan komuniti.

“Ketika kami memulakan bab baharu ini, kami tidak sabar untuk bergerak ke hadapan bersama Liverpool FC dan para penyokongnya di seluruh dunia.”

#AnfieldMy
#BeritaDariAnfield

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.